Ketentuan Ilahi

“Allah…..”, keluhku sendiri. Deretan kenderaan yang berpanjangan di simpang tiga di hadapanku hanya mampu ku pandang.

Dahlah aku terlewat bangun pagi ni, jalan pulak sesak. Dan yang lebih memingitkan, pagi ni, Department Manager aku yang baru akan masuk kerja!

“Nasib-nasib…”, keluhku lagi. Lantas ku besarkan suara radio yang mengemakan lagu “Hero”, nyanyian Mariah Carey.

Secara automatik pula mulutku komat-kamit cuba meniru penyanyi barat itu. Duduk dalam kereta sorang-sorang pun boring juga, baiklah aku “melalak” sama, hilang juga rasa boring tu.

Lampu isyarat membeluk ke kiri ku hidupkan setelah keretaku agak hampir dengan simpang tiga. Dan bila giliran aku tiba, tanpa berlengah, aku menekan minyak membelokkan kereta ke kiri. Dan di saat itulah aku perasan, sebuah motosikal menyelit di sebelah kiriku cuba membelok ke arah yang sama.

“Brekkkkkkkkkkkk”, aku menekan pedal brek sekuat tenagaku.

Aaaaaaah…terlambat, motosikal berkuasa besar itu sudah terbaring di bibir jalan.

“Kurang asam punya rider…siapalah yang suruh dia menyelit dekat sebelah kiri. Itukan blind spot aku…..”, rungutku sendiri. Bingkas aku keluar untuk melihat keadaan penunggang motosikal itu.

Nasib baiklah si penunggang sempat membuangkan dirinya dan nasib baiklah kereta aku belum laju. Pemuda yang berjaket kulit hitam, berkemeja putih, bertali leher dan berkacamata hitam itu, aku lihat sedang membongkok membersihkan pakaiannya.

“Eh saudara… apasal lah awak menyelit sebelah kereta saya ini… tak faham undang-undang ke?”, sergahku.

Sekilas dia memandang aku. Macho jugak rupanya dia.

“Alamak… motor aku..”, katanya tanpa memperdulikan cakap-cakap aku. Bingkas dia menerpa motor merah Harley Davidsonnya, model apa aku tak pasti. Lagipun aku bukan minat sangat pasal motor-motor ni semua.

“Eh saudari….. dah langgar orang tak tahu nak tolong ke?”, jerkahnya pula sambil terkial-kial cuba membangunkan balik motor yang terbaring.

Aik… aku pakai lawa-lawa macam ni dia suruh tolong angkat motor, kutukku cuma dalam hati. Tetapi kerana kesian, aku tolong juga dia.

“Nasib baik motor ni tak apa-apa… kalau tidak..”, katanya setelah puas membelek motor yang sudah barang tentu menjadi kesayangannya itu. Maklumlah motor mahal.

“Kalau tidak kenapa? Nak saman saya…? Awakkan yang salah. Yang awak pegi potong sebelah kiri tu kenapa? Nasib baik kereta saya pun tak ada apa-apa tau!”, sergahku lagi.

“OK…. OK… saya tak ada masa nak bertekak, saya pun dah lambat….”, katanya lagi.

“Fine…!”, jawabku lalu masuk ke dalam kereta dan pergi meninggalkan pemuda separuh tiang itu. Tak kuasa aku nak melayan lelaki ego macam tu. Jaga motor mengalahkan jaga isteri.

Pagi itu aku berjaya juga sampai ke pejabat sebelum, Department Manager aku yang baru itu tiba. Kalau tidak, akan tercatitlah sejarah, boss datang dulu, setiausaha tiba kemudian.

“Troot… tut..”, interkom di atas mejaku berbunyi.

“Good morning, Asnida here”, jawabku seperti biasa.

“Good morning. Asnida…please come to my office…”, suara “slang” Mr Rob Johnson, bos mat saleh aku jelas kedengaran.

“I’ll be there in a jiffy Mr Johnson….”, ujarku.

Dalam perjalanan yang singkat itu, sempat aku berfikir, apalah yang GM aku nak panggil aku pagi-pagi ni. Kalau nak naikkan gaji ke, pangkat ke, baik juga, anganku.

“Morning Mavis….”, aku menegur setiausaha Mr Johnson. Wanita Cina yang masih cantik bergaya walaupun sudah hampir berumur empat-puluh tahun itu memberikan senyuman padaku.

Pintu bilik pejabat Mr Johnson ku ketuk dua tiga kali. Dan sebaik sahaja mendengar suara Mr Johnson memberi izin untuk masuk, aku menolak pintu papan berkayu nyatoh itu.

“Hi Mr Johnson… you want to see me Sir…”, aku bertanya.

“And since when did you call me Sir?”, tanya Mr Johnson dengan senyuman di bibir. Memang mat saleh ni macam tu. Tak lokek dengan senyuman. Aku hanya tersengeh macam kerang busuk.

“Come let me introduce you to your new immediate boss…”, katanya lagi.

“Asnida, this is Sha… fa… wi.., your new boss.. and Sha.. fa.. wi, this is Asnida your secretary”, ujarnya dengan slanga yang masih menebal.

Terkedu aku di saat terpandang wajah di hadapanku. Oh katakan tak mungkin! Ini hanya sebuah mimpi!!!! Takkan pemuda ego ini boss baru aku!

“Hi…. nice meeting you..”, Shafawi menghulur tangan. Huluran tangan seorang yang akan bergelar boss aku.

Aku sambut tangannya dengan muka yang merah padam.

“I’m sure you two can get along very well….. OK Asnida, please show Mr Shafawi his office…”, pinta Mr Johnson.

Itulah detik perkenalanku dengan Shafawi. Sama sekali tidak ku duga Shah (itulah panggilanku untuknya), akan menjadi lelaki yang mampu menembusi pintu hatiku yang kebal bak besi. Bukan pula aku tidak teringin untuk cinta dan dicintai, tetapi aku serik. Setiap kali lelaki yang aku suka tahu akan status “anak luar nikah” yang aku sandang tanpa kerelaan hati ini, mereka akan pergi meninggalkan aku. Bukan sekali, malah sudah tiga kali aku kecewa dengan alasan yang sama. Sebab itulah aku keraskan hati untuk tidak mahu bercinta lagi. Lagipun siapalah yang sudi beristerikan wanita yang ber”binti”kan “Abdullah” sahaja sepertiku ini.

Sungguh, aku tidak pernah menyesal dilahirkan sebagai anak luar nikah. Pada aku, itu kesalahan lampau ibu yang tak patut aku persoalkan; padah yang ibu dapat kerana bercinta dengan suami orang. Siapa aku hendak mempersoalkan dosa dan pahala ibu?

Malah aku sanjung ibu kerana berani beterus-terang padaku. Aku sanjung ibu kerana keputusannya untuk meninggalkan lelaki yang tidak mahu bertanggung-jawab itu dan meneruskan kehamilannya dan melahirkanku walaupun terpaksa menerima hakikat dipulaukan oleh keluarganya sendiri. Ibu tidak mahu melanjutkan dosa yang sememangnya sudah ketara. Dari menjadi pembunuh, baiklah ibu bertaubat dan membesarkan aku semampunya. Dan nyata usaha ibu tidak sia-sia. Didikan ibu cukup membekalkan aku dengan ketabahan dan kecekalan untuk menempuh ranjau hidup yang penuh berliku ini.

Pada detik pertama Shah melafazkan rasa cintanya padaku, sudah ku terangkan duduk perkara yang sebenar. Aku lebih rela Shah mengundur diri sebelum aku terlanjur menyintainya. Tetapi semakin Shah tahu akan usal-usulku, semakin pula dia bertekad untuk merebut cintaku. Hairan aku dengan perangai makhluk lelaki yang sorang ni. Malah Shah tidak teragak menjelaskan perkara ini pada mama dan papanya di hadapanku dan mereka dengan rela hati menerima keputusan Shah untuk menjadikan aku isterinya, walaupun mereka sedar akan status yang aku pegang itu.

Petang ini mama dan papa Shah akan datang sendiri untuk merisik dan berkenalan dengan ibuku. Aku tahu ibu gembira, ibu mana yang tidak gembira melihat anak gadisnya disunting orang. Malahan ibu bangga kerana bakal mendapat menantu seperti Shah yang menilai seseorang bukan hanya pada dasarnya. Antara sedar dan tidak, airmataku mengalir membayangkan wajah ibu.

“As… apa yang kau buat dekat dalam tu? Cuba tolong ibu ni…”, lantang suara ibu memanggilku.

Bingkas pula aku mengesat airmata dan berlari keluar mendapatkan ibu. Ku peluk ibu dari belakang.

“Hei budak ni… cuba tolong ibu sikit. Awak tu dah nak jadi isteri orang…..”, bebel ibu.

Aku senyum tidak menjawab. Lalu ku kucup pipi ibu dan aku ambil piring dari tangan ibu lantas ku susun rapi di atas meja.

“Assalamualaikum….”, kedengaran suara Shah memberi salam.

Aku dan ibu menjawab hampir serentak. Tak sangka pula Shah akan ikut sama petang itu. Aku dan ibu jalan beriringan menuju ke arah pintu. Kupeluk lengan ibu, erat.

“Masuklah Shah….ajak ibunya sekali..”, pelawa ibu.

Shah masuk dan bersalaman dengan ibu. Diikuti dengan mama Shah yang bersalaman erat dan bertanya kabar pada ibu.

“Mana papa you…?”, aku bertanya pada Shah.

“Tengah parking kereta tadi…nanti masuklah tu..”, jawab Shah pendek.

Ku lihat ibu dan mama Shah begitu mesra berbual. Alhamdullilah, aku bersyukur kerana mereka ramah berbicara. Satu petanda yang baik rasanya.

“Assalamualaikum….”, suara garau papa Shah memberi salam. Serentak kami berempat menoleh. Dan aku segera mempelawanya untuk masuk. Dan ku perkenalkan pada ibu.

Demi terpandang wajah ibu, papa Shah bagai tergamam. Ibu pula terdiam bagai ada yang tidak kena.

“Awak Asmah ke?”, tanya papa Shah pada ibu.

“Ya… saya Asmah. Jali,.. saya Asmah…”, ibu menunduk.

“Ibu kenal papa Shah ke?”, tanya ku.

Ibu memandang wajah ku. Entah kenapa, tiba-tiba ibu menangis.

“Kenapa bu? Kenapa ibu menangis?”, aku melutut di depan ibu. Sandiwara apa pula yang sedang aku saksikan?

“Jali…. ini anak kau Jali? Shah anak kandung kau ke Jali?”, tiba-tiba ibu bertanya.

Dan ku lihat papa Shah hanya menganggukkan kepala.

Tangis ibu semakin menjadi. Aku peluk ibu dengan benak yang bercelaru dengan berbagai persoalan. Shah dan mamanya juga hairan dengan senario yang mendadak ini.

“As… maafkan ibu As.. Maaf kan ibu..”

“Tapi kenapa bu?’, tanyaku. Airmata sudah menurun di anak pipiku juga.

Tanpa menjawab soalanku ibu memandang pula pada mama Shah yang sama terpinga seperti aku dan Shah.

“Maafkan saya Cik Maria. Saya bersalah pada Cik Maria. Dah lama saya cari Cik Maria untuk minta maaf…”, kata ibu dalam sedan.

“Kenapa ni bu?’, tanyaku.

“As, kau tak boleh kahwin dengan Shah, nak”, kata ibu lagi sambil mengusap rambutku.

“Tolonglah bu, berterus-teranglah…apa semuanya ini..”, tanyaku pula dalam tangis.

“Kau berdua… kau berdua datang dari benih yang sama..”,

Kata-kata ibu bagai panah yang menikam terus ke jantungku. Terjawablah teka-teki yang sering bermain di benakku. Seorang lelaki yang sepatutnya bergelar ayah padaku, rupanya lelaki sama yang hampir menjadi ayah mertuaku.

Ku lihat Shah berdiri mengusap rambutnya yang ikal. Dia memandangku dengan perasaan sayu. Tanpa bicara dia keluar meninggalkan kami. Aku tahu dia juga kecewa seperti mana aku. Tapi apa yang boleh kami buat? Darah yang mengalir di badan kami berpunca dari benih yang sama.

“Sudahlah Cik Asmah.. saya dah lama maafkan awak dan suami saya..”, ujar mama Shah.

“Saya tahu kecurangannya.…. tapi tak sangka pula dia ada anak dengan awak. Apapun Cik Asmah.. itu cerita lama. Yang sudah tu sudahlah…..”, pujuk mama Shah lagi.

“Ya Asmah…Aku pun nak minta maaf dengan kau sebab pernah melukakan hati kau. Aku tak sangka kau betul-betul meneruskan kehamilan kau tu setelah kita berpisah”, tambah papa Shah pula.

Ibu tidak menjawab. Dia hanya mampu menangis dan menganggukkan kepala.

Memang mereka sudah bermaafkan. Tapi macam mana dengan aku dan Shah? Adil ke jika kami yang menjadi mangsa sandiwara mereka? Entah kenapa aku tiba-tiba jadi berang mengenangkan itu semua.

“Tapi macam mana saya? Macam mana dengan Shah? Tak terfikirkah betapa tersiksanya kami dengan benda ni semua?”, ujar aku pula dengan nada marah. Bingkas aku berdiri dan lantas berlari masuk ke dalam bilikku. Ku hempaskan badan di atas katil dan menangis semahunya.

Tiga hari aku berkurung di dalam bilik. Kepiluan yang melanda memang susah untuk ku bendung. Bayangkanlah setelah sekian lama bermadu kasih dengan Shah, pemuda pertama yang dapat menerima status anak luar-nikahku, aku terpaksa melupakannya sebagai seorang kekasih dan menyayanginya seperti seorang abang. Mampukah aku melakukan itu? Aku ingat, selama ini aku seorang yang tabah. Didikan ibu sudah cukup membuat aku kuat mengharungi berbagai rintangan. Tetapi ternyata aku masih lemah. Masih kalut menghadapi dilemma semacam ini.

“As….”, kedengaran suara ibu memanggilku dari luar. Aku tidak menjawab.

“As.. buka pintu sayang… Shah datang ni”, ujar ibu lagi.

Aku menyeka airmata yang masih bersisa. Sudah bersediakah aku berdepan dengan Shah? Sudah relakah aku memanggilnya abang dan bukan sayang seperti lazimnya? Sudah mampukah aku bertentang mata dengannya tanpa rasa pilu yang mengunung ketika ini?

Mahu sahaja aku lari dan melupakan semua ini. Tetapi adilkah kalau aku terus menghukum ibu dengan berkurung dan membiarkan Shah mengharungi badai perasaan ini sendiri?

Perlahan aku berdiri dan membuka pintu. Shah menolak perlahan daun pintu.

“Hi…”, dia menegur.

Aku memandang wajahnya seketika. Dari wajahnya yang tidak bercukur aku tahu Shah juga mengalami dilemma yang serupa.

“Look As… kita tak boleh macam ni selamanya.”, lemah nada suara Shah.

“Shah tahu, As menderita macam Shah juga. Tapi ini takdir Allah. Lambat-laun kita harus terima juga. Jangan biarkan diri As seperti ini. Shah tak sanggup tengok As terus menangisi apa yang telah berlaku.”, pujuk Shah lagi.

“Tak semudah itu Shah….”, kataku cuba menahan air mata.

“Shah tahu As, tapi kita harus cuba. Ingatlah pada Allah As. Bersyukurlah ini semua terbongkar sebelum kita bernikah. Percayalah As, semua yang berlaku ada hikmahnya. Kan dulu As pernah cakap macam tu.”

Aku memandang wajah Shah tanpa sebarang bicara kerana aku tahu apa yang dikatakan itu benar belaka.

“Kita sama-sama cuba ya As… Shah janji tak akan membiarkan As menghadapi semua ini sendiri. As… As kan adik abang…”.

Airmataku gugur tiba-tiba mendengar kata-kata Shah yang terakhir itu. Entah kenapa aku lantas mendakap Shah. Aku tahu Shah juga menangis.

Hari itu kami berjanji akan cuba melupakan semua yang berlaku dan cuba belajar hidup seperti abang dan adik. Memang itu tidak mudah. Tapi kami harus juga menerima qada dan qadar Allah. Semoga kami tabah menghadapi ini semua.

0 comments:

Post a Comment