Ramadhan tiba lagi. Sudah dua minggu ia berlalu. Pastinya lagi beberapa minggu menunaikan ibadat puasa, umat islam seluruh dunia akan menyambut hari raya. Tidak kira tua atau muda, miskin atau kaya, di bandar atau di desa, semuanya berhak bergembira di hari raya.
Aku masih lagi terkial-kial menyiapkan tempahan jahitan dari saudara mara dan rakan-rakan yang mengenali. Ada yang mahukan fesyen tradisional, kebaya labuh, baju bercekak musang, baju kurung Johor, juga tidak ketinggalan baju Kedah. Tetapi ada juga yang mahukan fesyen terbaru, baju Vietnam yang terbelah tinggi di kedua-dua belah sisi baju dan ada pula yang mahukan baju jubah berbagai variasi. Hmmm…sekali fikir mahu saja aku menolak semua tempahan itu kerana aku tiada 'mood' untuk menjahit pada tahun ini. Apatahlagi, bila tempahan itu diberikan setelah puasa bermula. Tapi bila mengenangkan kemeriahan mereka untuk menyambut hari raya, aku menerima saja, dan aku akan cuba menunaikan permintaan mereka. Kasihan juga. Siapa tahu, amal yang sedikit ini bakal diberikan ganjaran dariNYA. Lagipun, baju untuk anak-anak, telah aku siapkan lebih awal.
"Mama, posmen datang!" Jerit Atila dari luar. Memang telah aku pesan kepadanya untuk segera memberitahu jika terlihat kelibat encik 'posmen'. Segera aku berhenti menjahit dan berlari mendapatkan posmen yang tersenyum melihat aku menantinya.
"Untuk Nur Atila dan Mohd. Adham kak!" Kata-kata posmen itu mematikan kegembiraan aku. 'Ahhh! Untuk budak-budak ni lagi! Kecik-kecik dah ramai peminat.' Segera aku memanggil Atila dan menyerahkan sampul putih yang pastinya berisi kad hari raya dari teman-teman sepersekolahannya. Seronoknya dia mendapat kad hari raya dari Syafiqah, teman yang pernah sekelas dengannya. Untuk Mohd. Adham akan aku serahkan sekembalinya dia dari kedai nanti. 'Haiiii……' aku mengeluh lagi. Entah kenapa, perasaan rindu terhadap suami yang jauh begitu bergelodak saat itu.
Bulan lepas, ada aku menerima panggilan telefon dari suami yang memberitahu keadaan dirinya yang sihat dan selamat di sana. Dia berpesan minta aku jaga diri dan anak-anak dengan baik. Sempat juga dia bergurau ketika itu, supaya aku masakkan lontong kegemarannya untuk juadah hari raya. Kalau dia tidak ada pun, dia minta aku niat makankan lontong itu untuknya masa hari raya nanti. Kata dia lagi, lontong aku tiada lawannya dengan lontong orang lain. Haruman daun pisangnya terbau hingga ke sana. Kuahnya lemak dan kuning menyelerakan. Serunding dan sambal tumisnya enak. Walaupun pedas tetapi sedap sehingga menjilat jari. 'Ahh, Abang! Ade je!.' Aku tersenyum mengenangkan dirinya. Tergambar di hadapan mata ketika itu wajah suami yang tampan dan segak bergaya. Berkumis tebal dan bertubuh sasa. Diam tak diam, sudah hampir setahun dia di rantau orang. Dan aku pula, kesepian menanggung beban rindu yang menyiksakan.
Semalam pagi, ibu mertua aku ada menelefon ke rumah bertanyakan di mana aku beraya pada tahun ini. Belum sempat aku memberi jawapan, dia sudah menyatakan yang dia ada membuat kuih bahulu kegemaran Atila dan akan membuat ketupat daun palas berinti jagung kegemaran Adham. Lemah aku mendengarkan kenyataan ibu yang sungguh pengasih dan penyanyang itu. Hendak aku berjanji, bimbang tidak tertunai pula nanti. Hendak menolak, bimbang hati tuanya terguris di bulan Ramadhan yang mulia ini. Elok pula pada petangnya, emak aku pula menelefon ke rumah. Soalan yang sama juga diajukan. 'Pening!.' Serba salah aku dibuatnya. Boleh atau tidak, aku sekadar menyuarakan 'InsyaAllah'. Kalau tiada aral dan Allah izinkan, sampailah kami ke rumah ibu atau mak nanti. Atau mungkin, kami sekadar beraya di rumah sendiri.
Hari berganti minggu. Tempahan jahitan telah pun siap kesemuanya. Duit hasil dari upah menjahit telah aku kreditkan ke dalam buku akaun ASB. Lumayan tahun ini. Alhamdulillah. Bukan aku perlukan sangat upah dari tempahan menjahit itu. Duit gaji suami aku pun dah lebih dari cukup untuk menyara hidup keluarga kami yang cuma empat orang ini. Aku melakukan itu semua atas dasar minat dan waktu yang ada. Tapi, dah adat orang menempah, tak banyak sikit, mereka hulur juga. Walaupun ada juga yang diam sampai raya tahun depan menjelang pula. Aku tak kesah.
Raya bakal menjelang lagi tiga hari. Khabar berita dari suami tidak aku terima sejak dia menelefon ke rumah lebih sebulan lalu. Kad raya yang aku tunggu-tunggu juga tidak berkunjung jelma. Lagu-lagu raya yang berkumandang di setiap rancangan radio mahupun televisyen, menyesakkan nafas aku. 'Ya Allah! Hanya Engkau yang lebih mengetahui gelodak jiwa hambamu ini!.' Ketenangan di wajah tidak dapat lagi membendung perasaan yang berkecamuk dalam diri. Bimbang, debar dan rindu! Airmata mula mengalir tidak henti-henti. Kelopak mata memerah dan hampir melecet lantaran asyik dikesat dengan hujung baju dan tisu. Anak-anak pula asyik bertanya ke mana hendak beraya tahun ini. "Kalau papa ada tentu seronok kan mama!" kata-kata Atila menambahkan sedih di hati aku.
Entah di mana suami aku sekarang. Ingin benar aku mengetahui keadaannya. Telah aku cuba bertanya di ibupejabat, dan mereka memberikan jaminan yang keadaan suami aku selamat. Disebabkan tugasnya sebagai pemerhati di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu aku tidak boleh diberitahu lebih 'detail' keadaannya. Cukup sekadar mengetahui mereka selamat. Tapi di mana? Hari-hari sejak awal Ramadhan dulu, helai demi helai suratkhabar aku belek, mana tahu ada ucapan selamat hari raya darinya untuk aku dan anak-anak. Tetapi sampai ke hari ini, tiada. Aku semakin hampa.
Esok hari raya. Kuih kacang koko kegemaran suami telah aku masak bersama Atila dan Adham sejak semalam. Lontong akan aku masakkan esok hari. Baju raya anak-anak telah aku muatkan ke dalam beg pakaian. Dua pasang baju raya baru milik aku telah aku muatkan juga ke dalam beg yang sama. Keputusan sudah muktamad! Aku akan pulang ke rumah keluarga aku untuk berhari raya di sana. Sekurang-kurangnya, anak-anak akan gembira berhari raya bersama sepupu-sepupu mereka yang khabarnya akan pulang berkumpul di rumah emak. Abang-abang aku pula pasti akan dapat menghiburkan anak-anak aku yang memang rapat dengan mereka. Tak sanggup rasanya hendak pulang ke rumah ibu mertua tanpa suami. Pastinya kesedihan akan bertambah bila saudara mara sebelah suami akan bertanya tentang dia yang entah di mana berada. Aku sendiri tidak tahu. 'Abang! Akan Mar niatkan makan lontong hari raya esok untuk abang sepertimana yang abang pesan'. Airmata mengalir lagi.
Enjin kereta telahpun aku panaskan dan sebentar lagi akan kami mulakan perjalanan sejauh dua ratus enam puluh kilometer dari sini. Tentu sempat tiba ke destinasi sebelum waktu berbuka. Aku menanti Adham menguncikan pintu pagar. Sebaik ingin memulakan perjalanan, sebuah land rover kepunyaan tentera menuju ke rumah kami. Hati aku bertambah debar. Anak-anak juga terdiam seolah mengetahui apa yang tersirat di hati aku. Seorang pemandu dan seorang pegawai tentera lengkap beruniform memandang ke arah kami penuh tanda tanya. Aku juga tertanya-tanya sendiri. Urusan apa agaknya kedatangan mereka? Berita apakah yang bakal mereka sampaikan? Di fikiran mula timbul perkara yang bukan-bukan.
"Papa!!!!!!" Tiba-tiba anak-anak bersorak gembira melihat kelibat suami aku yang turun dari bahagian belakang land rover tersebut. Mereka terus mendapatkan papa yang mereka rindui. Mereka berpelukan dan pipi anak-anak aku dikucupi. Pipi suami aku turut menjadi sasaran ciuman anak-anak. Aku tercengang. Tergamam. Terkaku dalam kereta. Tidak tahu apa yang hendak aku dilakukan. 'Betul ke ni? Mimpi ke realiti?'
"Hai! Cik abang balik takkan tak sambut kot!" gurau pegawai tentera itu membuatkan aku tersedar.
Aku mendapatkan suami yang tenang menanti sambil tersenyum mempamirkan gigi putih ratanya. Tangannya aku kucup. Terasa hangat gengaman jemari tangan kami ketika bersatu. Seketika mata kami bertentangan dan dapat aku lihat gelora rindu yang membara di matanya sepertimana gelora rindu yang membara di hati aku. Sepantas kilat aku ditarik ke dalam pelukannya. Airmata gembira kami bercucuran. Tak habis-habis aku menuduhnya kejam kerana tidak menghantar sebarang berita buat kami. Dan dia pula tidak habis-habis membela diri kerana ingin membuat kejutan di Aidilfitri. 'Abang memang nakal!'
Tahun itu, kami berhari raya di rumah mertua yang tentunya rindu pada anaknya yang lama di perantauan. Seperti janji ibu, kuih bahulu dan ketupat daun palas berinti jagung tersedia di pagi Syawal. Lontong kegemaran suami aku, turut tersedia.
"Ermmmmmm…memang sedap! Kan abang dah kata Mar punya lontong tiada tolok bandingnya. Tapi, sambal tumisnya mana?" Tanya suami membuatkan aku berlari semula ke dapur mengambil sambal tumis yang terlupa hendak di sendukkan ke dalam mangkuk. Dan kami sekeluarga menikmati juadah itu dengan penuh kesyukuran. Hari raya tahun itu cukup meriah dengan kujungan sanak saudara dan teman-teman. Suami pula begitu seronok bercerita tentang pengalamannya sepanjang bertugas di negara orang. Sesungguhnya aku terlalu gembira kerana dapat berhari raya bersama suami, anak-anak dan keluarga.
Namun dalam kegembiraan menyambut hari raya, kerinduan aku untuk mengucup tangan emak di pagi Syawal tetap bermain di fikiran. Perlahan suami aku datang menghampiri dan berbisik lembut ke telinga aku, "tahun depan kita raya rumah emak Mar pulak ye!" janji suami membuatkan aku tersenyum.
0 comments:
Post a Comment