Masyarakat Islam Melayu secara umumnya memahami istilah Wahabi ini merujuk kepada segelintir golongan umat Islam yang mempunyai tafsiran dan pemahaman yang berbeza mengenai soal ibadat. Contohnya, apabila seseorang itu tidak membaca doa Qunut ketika solat subuh, maka dia akan dituduh sebagai penganut fahaman Wahabi. Begitu juga jika seseorang itu menolak mengadakan majlis kenduri arwah, maka dia juga akan dituduh sebagai Wahabi. Secara ringkasnya, apa sahaja pandangan atau pendapat yang melawan arus pemikiran perdana umat islam di tanah melayu, maka berkemungkinan besar si pembawa idea atau pendapat itu akan digelarkan sebagai Wahabi. pendapat ini merupakan satu corak pemikiran yang telah lama mentafsirkan pemikiran tradisional umat Islam. Penulisan ringkas ini tidak menjuruskan benar atau salah fahaman ini, namun sekadar santapan ringkas agar ilmu dan pemahaman dapat diluaskan.
Gelaran Wahabi sebenarnya disandarkan kepada seorang tokoh islam yang bernama Muhammad Ibn Abdul Wahab. Di zamannya, Sheikh Muhammad Ibn Abdul Wahab merupakan seorang yang tegas dalam membersihkan akidah umat islam yang mana ketika itu dicemari dengan pelbagai unsur-unsur perubahan dalam agama seperti pemujaan kubur alim ulama’ dan pembinaan di atas kuburan. Kebanyakan tanggapan mendakwa fahaman ini mendukung idea dan perjuangan Sheikh Muhammad Ibn Abdul Wahab dalam membersihkan akidah umat Islam. Sewajarnya, jika gelaran wahabi ingin disandarkan kepada Sheikh ini, ia sepatutnya menggunakan gelaran ‘Muhammadiyyah’. Namun musuh-musuh Sheikh Muhammad Ibn Abdul Wahab sengaja menggunakan istilah Wahabi untuk mengaitkan diri Sheikh itu dengan fahaman Khawarij yang mendakwa orang Islam sebagai murtad jika melakukan dosa. Namun hal ini telah dinafikan olehnya dalam surat yang ditulis kepada penduduk Qassim, ‘saya tidak pandang mana-mana orang Islam sebagai kafir kerana dosa mereka, dan saya juga tidak mengeluarkannya dari agama Islam.’ (rujukan: Sheikh Muhammad Ibn Abdul Wahab His Life & The Essence of His Call, Prof Sulaiman Ibn Abdurrahman Al-Huqaily, edisi terjemahan oleh Hamidun Abdullah untuk Institute As-Sunnah) Sebenarnya, terdapat banyak tuduhan dan fitnah yang dilemparkan kepada tokoh ini sehingga menjadikan gelaran Wahabi sebagai satu istilah yang ditakuti, namun kebanyakkan tuduhan itu telah pun dijawab dengan ilmiah. Walaupun berlaku banyak fitnah terhadap dirinya, namun sumbangan besarnya dalam bidang akidah tetap dihargai oleh ramai ulama’ dunia seperti Dr Yusuf Al-Qardhawi, Sayyid Muhammad Rashid Ridha, Sheikh Ali Tantawi dan lain-lain ulama’ besar dunia. Memetik kata-kata Al-Qardhawi ‘kebanyakan dalam da'wah Imam Muhammad bin Abd al-Wahhab di Jazirah Arabia ialah pada bidang aqidah, untuk menjaga dan melindungi tauhid dari berbagai bentuk kemusyrikan dan khurafat yang telah mencemari sumbernya dan membuat keruh kejernihannya. Dia menulis berbagai buku dan risalah, serta menyebarkan dan mempraktekkannya dalam rangka menghancurkan berbagai fenomena kemusyrikan.’ (rujukan: Fiqh Aulawiyyat, Dr Yusuf Al-Qardhawi)
Realiti yang berlaku di dunia Islam, kebanyakkan pemikiran tradisionalis menganggap fahaman Wahabi ini sebagai unsur yang menyimpang di dalam Islam. Dukacita juga sebahagian dari mereka meletakkan fahaman ini sebagai terkeluar daripada Ahlul Sunnah Wal-Jamaah (ASWJ). Majoriti yang menjadi pemikir seperti ini hanyalah merupakan mangsa kepada keadaan yang telah membutakan mereka kepada kefahaman yang rigid. Mereka menganggap, apa sahaja yang bercanggah dengan nilai mazhab Syafie mengikut kefahaman mereka, nilai itu akan dianggap sebagai tertolak walaupun ia masih berlegar dalam ruang Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Oleh itu, sebarang usaha tajdid untuk memberikan satu sudut pandang yang berbeza terhadap Islam, maka kadangkala ia akan ditolak secara mentah dengan beralasan pandangan itu sebagai pegangan fahaman Wahabi. Al-Qardhawi mengulas mengenai isu takut kepada usaha tajdid, katanya ‘Inilah satu titik lemah dalam pergerakan Islam. Ia takut dari ijtihad, tidak senang pada pembaharuan (tajdid), tidak cenderung pada keterbukaan dan tidak menyenangi perkembangan dan perubahan.’ (rujukan: Di Mana Punca Kelemahan Umat Islam Masa kini, Prof Dr Yusuf Al-Qardhawi)
Isu wahabi sebenarnya merupakan masalah persepsi umat Islam yang mana telah digambarkan dengan pelbagai fakta yang tidak benar mengenai fahaman ini. Umat islam di negara Melayu terutamanya perlu diberikan ruang kepada pemikiran yang lebih luas terhadap Islam. Jika suatu pemikiran itu rigid dan tidak benar, secara sendirinya pemikiran itu akan berkubur dan tidak mendapat tempat. Masyarakat Islam semakin bijak dalam penilaian, berikan mereka ruang untuk menilai setiap hujah dan fakta mengenai agamanya. Perkara yang terpenting dalam hal ini, kita sewajarnya tidak sesekali mengeluarkan mereka daripada keluarga Islam Ahli Sunnah Wal-Jamaah. ‘Oleh itu berbalik kepada isu Wahhabi, pendirian yang jelas perlu diambil, Wahhabiyyah sekali-kali bukan golongan yang terkeluar daripada Ahli Sunnah. Mengeluarkan mereka daripada Ahli Sunah bermakna kita juga terjebak ke lembah fanatik yang sama seperti sebahagian mereka.....’ (rujukn: Isu Wahabiyyah: Menangani Secara Realiti, Jurnal Penyelidikan Islam bil 19 2006M, Mohd Aizam bin Mas’od, JAKIM)
0 comments:
Post a Comment